MELAKA: Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat & Komunikasi dijangka dihadiri hampir 200 peserta dari dalam dan luar negara pada 18 hingga 20 Februari ini.
Dekan FKE Prof Dr Marizan Sulaiman berkata persidangan besar-besaran itu bagi perkongsian pendapat serta idea daripada setiap wakil universiti mengenai bidang kejuruteraan yang ingin diperkembangkan. “Persidangan ini yang terbaik dilakukan kerana mampu mengumpulkan sejumlah besar mereka yang pakar dalam bidang kejuruteraan sekali gus mampu berbincang di dalam satu majlis. “Malah kami juga percaya hubungan baik dapat dijalinkan antara pihak UTeM dengan wakil peserta yang ada melalui bidang kejuruteraan,” katanya. Marizan berkata, antara tajuk yang dibentangkan bagi kejuruteraan elektrik ialah mengenai kuasa industri, elektronik kuasa dan pemacu serta robotik dan mekatronik, manakala kejuruteraan elektronik dan kejuruteraan komputer pula ialah kejuruteraan komputer, telekomunikasi dan kejuruteraan elektronik. Katanya, peserta persidangan berkenaan dari wakil Cameroon, Jepun, Indonesia, Pakistan, India, Brunei, New Zealand, Qatar, Libya, Jerman, Amerika Syarikat, Iraq dan Bangladesh. “Mereka yang hadir kalangan ahli akademik, wakil industri, penuntut pengajian tinggi dan pakar dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat serta komunikasi. “Majlis pembukaan dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, manakala penutup Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali bin Rustam pada 20 Februari ini,” katanya.
|