Portal Rasmi AUTeM
Home
PERUTUSAN AIDILFITRI 1431H PRESIDEN PERSATUAN ALUMNI UTeM (AUTeM) PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Presiden   
Rabu, 08 September 2010 05:53
AddThis Social Bookmark Button

Saya mewakili Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM) ingin mengucapkan Selamat Menyambut dan Menghayati Hari Raya Aidilfitri 1431H.

Akhirnya setelah berpuasa sebulan penuh, kita menyelusuri pula kedatangan hari kemenangan. Bersyukur kita kerana Allah Azza Wajalla masih memilih setiap daripada kita untuk terus berada dalam kenikmatan paling agung buat umat manusia iaitu nikmat Iman dan Islam. Malah, masih dikekalkan kombinasi antara jasad dengan roh kita yang terus membolehkan kita menjalankan tanggungjawab sebagai Khalifah di muka bumi ini dan juga sebagai Hamba Allah pada masa yang sama.

Ketibaan Hari Raya ini mestilah disambut atas dasar keimanan, ketaqwaan, dan keinsafan terhadap Allah Azza Wajalla. Kegembiraan yang dikecapi pula mestilah dalam bentuk rasa kesyukuran terhadap-Nya yang disusuli dengan alunan kalimah-kalimah toyyibah dan zikir sama ada dengan ucapan takbir, tahlil, tahmid dan seumpamanya yang memuji-muji serta mengagungkan kebesaran Pencipta sekalian alam.

Sambutan Aidilfitri yang kita mulakan dengan takbir pada malam 1 Syawal adalah merupakan satu sunnah berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

“…supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir) kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya…”

(Surah Al-Hajj, ayat 37)

Maka, kemeriahan suasana Hari Raya perlu dipenuhi dengan melakukan amalan-amalan yang dituntut seperti mengerjakan solat sunat pada pagi Hari Raya, bermaaf-maafan dan sebagainya. Perkara terpenting dalam menghidupkan syiar Aidilfitri ini ialah kunjung-mengunjung mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga, sanak-saudara, jiran-tetangga dan juga sahabat handai. Gunakan ruang dan peluang ini untuk tautkan kembali ukhwah, khususnya buat alumni UTeM yang boleh kita sinergikan kekuatan yang ada untuk sumbangan kepada alma mater dan masyarakat.

Kita dituntut agar tidak berlebih-lebihan, apatah lagi ada yang menyambut Hari Raya dalam keadaan serba kekurangan terutama saudara-saudara kita yang terus dizalimi dan terus dinafikan hak oleh tentera Zionis laknatullah seperti di Palestin dan yang sedang mengalami dugaan alam seperti di Pakistan, New Zealand dan lain-lain. Semoga kita menghayati keperitan mereka dengan sedikit bantuan derma, sumbangan, dan paling minimum munajatkan doa untuk kemudahan mereka. Semoga Aidilfitri kita kali ini paling efektif, efisien dan bermakna.

Oleh itu, orang yang benar-benar dapat menikmati kemanisan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri yang hakiki adalah orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Mereka inilah yang tergolong dalam golongan orang-orang yang sentiasa meninggalkan larangan Allah di samping mentaati syiar Islam sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT yang bermaksud:

"Demikianlah (ajaran Allah). Barangsiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin" (Surah Al-Hajj : 32)

Semoga segala pengorbanan dan cabaran yang ditempuhi selama sebulan dalam acuan Madrasah Tarbiyyah Ramadhan akan terus menghadirkan keinsafan dan ketaatan total kepada ALLAH Azza Wajalla. Sama-sama Kita harapkan, doakan dan buktikan inersia Ramadhan akan berterusan. Selamat menghayati lebaran kali ini bersama keluarga tersayang, jua semarakkan ziarah sanak-saudara dan rakan taulan.

Akhir kata Salam Syawal buat semua alumni UTeM, Mahasiswa, Staf Akademik, Staf Bukan Akademik, Semua Keluarga besar UTeM & Seluruh Umat Islam. Eid Mubarak!

AL AMIN BIN HJ. MOHAMED SULTAN

PRESIDEN

PERSATUAN ALUMNI UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (AUTeM)

LAST_UPDATED2
 
Portal Rasmi AUTeM, Powered by Joomla! and designed by SiteGround web hosting