Portal Rasmi AUTeM
Home
CADANGAN PENAMBAHBAIKAN KAWALAN SOSIAL TERHADAP PELAJAR UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTeM) PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Al Amin Bin Mohamed Sultan   
Khamis, 15 Julai 2010 02:21
AddThis Social Bookmark Button

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM) ingin menarik perhatian pihak Y.Bhg Prof. berhubung dengan isu sosial serta pergaulan bebas yang semakin meruncing di negara kita dengan saban hari ada sahaja kes zina, khalwat, hamil luar nikah serta pembuangan bayi yang dilaporkan didada-dada akhbar dan media arus perdana. AUTeM berpandangan UTeM juga tidak terkecuali kerana usia muda mahasiswa/i yang mendorong mencuba apa-apa sahaja walaupun perkara haram disisi agama. Ditambah pula dengan keberadaan dalam persekitaran masyarakat awam yang pelbagai ragam serta pelbagai faktor lain yang kurang membantu mahasiswa/i untuk berada dalam persekitaran Islamik. AUTeM melihat isu ini sebagai satu isu yang sangat perlu untuk diberikan perhatian serius oleh pengurusan universiti terutamanya kerana ia boleh memberikan impak negatif kepada para pelajar, alumni dan juga universiti jika dibiarkan berlaku dan berterusan selain tidak selari dengan tuntutan agama Islam.

 

AUTeM mengambil inisiatif kendiri dengan melakukan beberapa tinjauan dan perbincangan sesama ahli jawatankuasa juga dengan beberapa orang mahasiswa, alumni dan staf untuk mendapatkan respon. Ini adalah untuk lebih memahami situasi yang sebenar dan langkah seterusnya selepas tinjauan dan perbincangan itu, AUTeM tampil untuk memberikan cadangan-cadangan dapatan penambahbaikan sebagai rasa tanggungjawab dan rasa kepunyaan kepada alma mater tercinta ini.

Antaranya adalah seperti berikut:

i – Penguatkuasaan Undang-Undang dilihat merupakan satu kaedah yang terbaik untuk menyekat dan mengelak perkara-perkara negatif. Malah langkah ini turut dicadangkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) di peringkat kebangsaan kepada kerajaan Malaysia untuk menguatkuasakan undang-undang yang berada dalam bidang kuasa pihak berwajib. Maka AUTeM mencadangkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan peraturan yang berada dibawah bidang kuasa Naib Canselor Universiti bagi mengawal dan mengelakkan terjadinya kebejatan moral mahasiswa seperti:

a) Melarang Mahasiswa lelaki dan perempuan berdua-duaan di kawasan UTeM termasuk di kawasan Kolej Kediaman dalam keadaan yang mencurigakan dan meragukan. Amaran dan hukuman perlu dikenakan kepada yang engkar.

b) Melarang keras tindakan Mahasiswa lelaki dan perempuan membonceng motosikal di dalam kawasan UTeM tanpa sebarang ikatan perkahwinan atau hubungan kekeluargaan yang sah termasuk di kawasan Kolej Kediaman dan pengambilan hukuman kepada yang ingkar.

c) Menguatkuasakan sistem hukuman, denda atau sebagainya mengikut peraturan Universiti bagi pelajar-pelajar yang tidak menutup aurat dan berpakaian tidak sopan di dalam kawasan universiti termasuk di kawasan Kolej Kediaman dan pengambilan hukuman kepada yang ingkar sebagaimana yang termaktub dalam buku tatatertibpelajar.

d) Memastikan pondok rehat para pelajar di kawasan UTeM termasuk di kawasan Kolej Kediaman adalah berlampu dan terang kerana masih terdapat pondok rehat yang tiada lampu dan gelap pada waktu malam yang membantu kepada aktiviti kurang sihat seperti berdua-duaan dalam keaadaan gelap seperti di Kolej Kediaman Taman Tasik Utama (Pangsapuri Mawar Teratai).

ii – Penguatkuasaan undang-undang perlu berlaku seiring dengan kesedaran kepara para mahasiswa agar langkah yang dimulakan dengan paksaan akhirnya berterusan atas dasar pemahaman dan kesedaran, maka AUTeM mencadangkan:

a) Satu Slot wajib ketika Minggu Haluan Siswa (MHS) untuk memberi kesedaran dan langkah berjaga-jaga kepada para mahasiswa baru. Slot yang dicadangkan adalah Preview Kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) yang sudah digerakkan di seluruh negara yang ditunjangi oleh aktivitis Raudhathus Sakinah yang memberikan perlindungan, kesedaran dan pembentukan kembali terhadap isu pergaulan bebas, zina dan hamil luar nikah. Jika dirasakan terlambat untuk diimplementasi pada MHS yang terdekat maka dicadangkan untuk MHS yang akan datang. Dilampirkan tiga (3) kategori pakej dalam program ABJZ beserta kos program yang dilihat adalah kompetitif dan murah untuk perhatian pengurusan universiti. kami mencadangkan pelaksanaannya mengikut masa dan kesesuaian.

b) Mendekatkan para pelajar dengan program bercorak muhasabah diri cara Islamik seperti Kem Keindahan BersamaMU (KBM) yang dikendalikan oleh KBM Excellence Sdn Bhd yang mendapat respon positif dan peningkatan spiritual kesedaran hasil dua (2) kali penganjuran sebelum ini dibawah Sekretariat MPP- Quranic Generation Club (Gen-Q). AUTeM juga mengambil inisiatif melampirkan Kertas cadangan KBM bagi perhatian pihak pengurusan universiti. KBM juga boleh dilaksanakan sebagai slot kepimpinan mahasiswa.

c) Program Berkala dengan mengetengahkan program-program seperti Cinta Kampus, Perubahan Sosiologi dan Seks Menurut Islam, Hubungan Silang jantina & Ikhtilat dan lain-lain yang disampaikan oleh tokoh atau pakar dalam bidang berkenaan. AUTeM mencadangkan

a. Y.Bhg Prof Madya Dr Harlina Halizah bt Siraj, Pakar Gineokologi dan Sakit Puan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

b. Y. Brs Pn Hjh Rosmawati bt Zainal Abidin, Pengurus Raudhatus Sakinah.

c. Y. Brs Hj Ahmad Shafiai Uda Jaafar, Pakar Motivasi Silang Jantina

Autem bersedia untuk menjadi penghubung atau mengatur penceramah dan pengendali sekiranya khidmat AUTeM diperlukan dalam perkara ini.

 

Inilah antara cadangan daripada AUTeM yang diharap akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh pihak universiti. AUTeM sentiasa berada bersama-sama dengan Universiti bagi menyediakan servis terbaik kepada konsumer tetap mereka iaitu para pelajar dan membantu memastikan persekitaran mahasiswa adalah mengikut lingkaran kawalan agama Islam. AUTeM sentiasa bersedia untuk membantu UTeM dan semestinya juga prihatin dengan kebajikan alumni dan bakal alumni agar mereka terus berada dalam jaringan perhubungan. Semoga hubungan erat antara AUTeM dengan UTeM akan membentuk kombinasi yang mantap dalam menaikkan nama UTeM dipersada antarabangsa. Dengan itu, segala kerjasama daripada pihak Y.Bhg Prof, saya sudahi dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian. Wassalam.


”ALUMNI UNTUK SEMUA. JARINGAN DIPERLUASKAN. KEBAJIKAN DIUTAMAKAN”

”KOMPETENSI TERAS KEGEMILANGAN”

Yang Benar,

ALAMIN BIN MOHAMED SULTAN

Presiden,

Persatuan Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM)

 
Portal Rasmi AUTeM, Powered by Joomla! and designed by SiteGround web hosting